TUKANG BACA

Sabtu, 1 Disember 2012

DIARI MAT DESPATCH : NALURI AYAH

assalamualaikum.



sebenarnya aku baru berkesempatan membaca diari mat despatch : naluri ayah yang tersadai di rak meja selama entah berapa minggu. dengan hanya mengambil beberapa jam, aku membaca di atas katil sambil diselubungi selimut dan bergolek-golek. entah mengapa hari ini dingin sungguh cuacanya. eh, cuaca yang dingin atau aku sahaja yang berasa dingin? entahlah. aku pun tidak pasti. yang pasti, sekarang aku sedang menjenguk keluar tingkap. cuma apa yang aku boleh katakan mengenai apa yang aku lihat adalah gelap. mampu membuatkan aku tidak pasti adakah mahu hujan ataupun sudah hampir malam. sekali lagi aku rasa tidak pasti. arghh, mengapa aku penuh dengan keraguan seperti rayyan yang selalu tidak pasti?

oh, baru aku teringat tujuan sebenar aku. aku mahu menceritakan mengenai abah. ya, abah aku. disebabkan aku terharu dengan karya penulisan bahruddin bekri, aku terus teringatkan abah. mungkin sebab aku seorang perempuan, jadi abah tidak begitu ego untuk menunjukkan rasa sayangnya pada aku. oh, rasanya ada juga egonya tetapi tidak banyak seperti yang ditunjukkan kepada dedeq, adik lelaki aku. sampai sekarang aku tidak faham mengapa apabila dengan dedeq, mereka seperti sukar berkomunikasi. malah kadang-kadang aku rasa seperti tiada komunikasi di antara abah dan dedeq. lain halnya apabila dengan aku. abah kadang-kadang menjadi seorang yang banyak cakap walaupun hakikat sebenarnya, orang menggelar abah sebagai seorang yang pendiam dan pemalu. jadi, apa yang boleh aku simpulkan di sini adalah, abah sama seperti aku. seorang yang pemalu tetapi dalam diam suka bercakap.

abah sangat garang semasa kami kecil. sangat garang. jika kami bergaduh lalu terdengar deruman motorsikal abah, terus kami bercicit lari menyorok bawah katil atau dalam bilik air. walaupun begitu, abah adalah orang yang paling bimbang jika kami sakit. aku ingat lagi, semasa aku empat tahun, aku sakit perut tengah malam. abah sanggup membawa aku ke beberapa buah klinik dan akhirnya ke hospital. jejak sahaja kaki di hospital, sakit perut aku sudah hilang. oleh sebab aku takut mahu beritahu abah, aku mendiamkan diri sahaja. semasa aku darjah dua pula, aku bermain hilang-hilang suara dengan akmal, kawan aku. apabila tiba waktu pulang, aku berlakon tiada suara di hadapan abah. aku lihat muka abah tersangat risau dan hampir mahu membawa aku berjumpa doktor. terus cepat-cepat aku hidupkan suara aku. sesungguhnya, aku seorang anak yang selalu membuatkan orang tuanya risau.

ketika aku remaja, abah orang yang terakhir menemankan aku membuat kerja sekolah sehingga pukul satu atau dua pagi. pernah sekali, sebuah karangan bahasa melayu aku adalah hampir tujuh puluh peratus idea dan ayat abah sendiri. akhirnya karangan itu menjadi pendek sedikit dari kebiasaannya dan ditegur oleh puan thai, guru bahasa melayu. pendek kerana aku dengan abah asyik berborak sampaikan lupa hendak menulis karangan yang panjang. abah juga suka bertanyakan aku, "akak sayang abah tak?"

aku rasa situasi aku agak terbalik dengan rayyan yang menunggu-nunggu jawapan ayahnya ketika ditanya oleh zenny. dengan menggunakan teknik 'nekad sesaat memasuki bilik mayat', aku pun berkata, "sayang." hakikatnya aku seorang yang malu dan ego untuk mengungkapkan kata sayang dan rindu kepada seseorang. aku juga tahu bahawa ramai yang berkecil hati dengan aku kerana merasakan yang aku tidak sayang kepada mereka.

apabila aku mula-mula masuk ke unimas semasa asasi dahulu, aku cuma datang dengan abah. ketika aku melipat baju dan susunkan ke dalam almari, tiba-tiba abah berkata, "pandai pun anak abah". terus aku tersentak dan terkebil-kebil. adakah selama ini abah selalu berfikir yang aku tidak pandai untuk menguruskan diri aku sendiri dan seringkali membuatkannya risau? namun, perkara-perkara sebegitulah yang berjaya membuatkan hatiku kempas kempis kerana kerap dipuji oleh abah. apabila aku mencapai suatu kejayaan, terus abah ucapkan tahniah. apabila aku mengedit gambar atau membuat sesuatu berkenaan dengan komputer, abah akan duduk di sebelah dan mengatakan "pandai anak abah". sama juga tatkala aku dapat menyelesaikan tugasan matematik bagaimana mahu mencari x dan ketika aku menulis suatu karangan panjang. abah tetap akan berkata hal yang serupa."pandai anak abah".

sekarang, kedua-dua kami masih mempunyai ego yang serupa. abah mempunyai ego seorang ayah, dan aku tetap dengan degilnya seorang anak. jika aku rindu abah, aku membuat taktik seperti ayah rayyan, encik zahid hamidi. ayah rayyan memberi alasan mahu mencari rakannya, kamal hassan padahal sebenarnya rindu mahu berjumpa rayyan. dengan taktik yang serupa, aku menelefon abah dengan mengatakan "duit sudah habis". namun taktik itu tamat sampai situ kerana setelah itu aku tidak tahu mahu berkata apa lagi. sama juga seperti abah, tiba-tiba sahaja menelefonku bertanyakan, "duit ada lagi?" kemudian, perbualan mati selepas itu.

hahaha. tidak mengapa. kerana itu, aku tahu abah sayang aku.

'kematangan bukan hanya memikirkan perkara-perkara yang besar, tetapi ia bermula dengan memerhatikan perkara-perkara yang kecil' - tuan bahruddin bekri.  

9 ulasan:

shafiqahanuar berkata...

sama macam ayah aku, selalu tanya, sayang ayah tak? kenapa ye? kadang2 sayu je dengar kan :(

amii afandi berkata...

itulah pasal kannnn? aku pun tak tahu kenapa.

Nadilla Jamil berkata...

entah kenapa kakak pin menangis bila baca ni. T_T

amii afandi berkata...

kakak pin, sila baca naluri ayah. lagi haruuuu. haha.

zubect berkata...

biase jugak aku dgr, ayah lebih rpt ngan anak pompuan berbanding ngan anak lelaki. pape hal pown, moga2 ko leh bahagiakan ayah ko ye :)

amii afandi berkata...

insyaAllah. mudah-mudahan:)

Teenager Housemaid berkata...

untung ada abah...:)

amii afandi berkata...

:)

Tanpa Nama berkata...

Kak, terima kasih kerana menyatukan dedek dan abah,