TUKANG BACA

Jumaat, 27 September 2013

SIGH. PERKARA PALING SUSAH ADALAH UNTUK MENETAPKAN TAJUK

situasi sebelum mula menaip : kembali termenung pada kertas putih ini kerana tidak tahu apa yang mahu ditulis. oh, dalam erti kata lain aku sudah tidak tahu bagaimana mahu mula menulis.

hidup ini makin lama makin mencabar. kadang sampai aku rasakan, sekarang aku sedang bermimpi. yeah, macam mimpi bila kena hidup sendiri. mimpi yang masa kecil-kecil dahulu sebab tak sabar mahu jadi besar dan tinggi (tapi sampai sekarang aku masih pendek dan tidak besar). nah, ambil! rasakan sendiri. baru menyesal mahu kembali menjadi kecil lagi.

semester tiga ini aku sudah duduk rumah sewa. rumah sewa yang terletak jauh di Unigarden. melintas jalan besar depan universiti aku. seminggu mula semester dahulu, serius rasa payah. susah. sampaikan mampu menangis tersedu-sedu. eh, tetapi aku pergi menangis senyap-senyap ketika sedang menikmati curahan air seperti dalam drama korea. ataupun semasa diselubungi selimut kelabu biru. tapi tidak sempat melayan perasaan, aku sudah beradu.

bermacam cara aku pergi ke kelas. cara pertama, pergi ke kelas menaiki bas. bas unimas yang membuatkan kami bertukar menjadi ganas. kerana betapa ramainya manusia berhimpit sehingga berjaya membuatkan aku berpeluh-peluh seperti ketiadaan kipas. keadaan ini juga turut berjaya menguatkan otot-otot tangan kerana harus bergayut kemas. agar tidak jatuh tergolek malah terbabas.

eh sekejap, aku mahu bertukar duduk cara bebas.

cara kedua, aku pergi ke kelas dengan berjalan kaki. kasihan kakiku ini. aku berjalan kaki kerana pakcik bas terlupa masuk ke lorong dua belas. dan terpaksa aku sabar menahan panas. berjalan-jalan dengan beg yang berat. membuatkan otot mukaku bertukar kelat. sudahnya, sampai ke rumah aku penat.  tidak larat. akhirnya membawa kepada tidur yang cepat.

eh, rasa macam bina pantun empat kerat.

oh, aku sudah catat berapa lama setiap kali aku jalan. tiga puluh minit diambil jika aku pantas berjalan. dan erm, lebih kurang empat puluh minit juga aku ambil jika berjalan pelan-pelan. dan sekarang kakiku sudah kebal. tidak banyak diminta belai.

sama juga dengan bahuku.
sudah kurang sakit seperti selalu.

cara ketiga, aku pergi ke kelas dengan menaiki basikal. basikal yang aku beli berwarna hijau berbakul comel. eh memanglah comel. haha. tapi, aku hanya mengayuh si hijau cintaku pada hari rabu. kerana kelasku tamat pukul dua dan sempat pulang setelah makan nasi kerabu. itu sahajalah yang aku mampu. mula-mula dahulu, aku merana sakit punggung. sakitnya, Allah sahaja yang tahu. sampaikan aku serik tidak mahu. tapi terpaksa jugalah menggigihkan diri mengayuh laju. nasib baik sekarang sudah hilang sakitnya. kerana uncle basikal itu sudah tukar tempat duduknya. agar lebih selesa.

eh, sudahlah.

disebabkan sebentar lagi aku perlu ke kelas, aku minta diri dahulu.
bila-bila nanti aku kembali menjenguk dengan cerita baru.

akhir kata, marilah kita jadi kuat wahai kawan.
menempuh cabaran. menempuh dugaan.

p/s : wahai diri, sila jangan merungut.

dalam surau sakura,
1:07 pm.  

1 ulasan:

Phillomena Jane berkata...

amboi..bermacam-macam cara untuk ke unimas sebenarnya. tapi aku hanya pernah mencuba satu saja. naik kereta..haha