TUKANG BACA

Ahad, 20 Mei 2012

SI CIKGU BERMUKA MANIS


budak itu comot. berbaju kurung putih yang kainnya berwarna biru gelap. kali ini perwatakkannya sedikit berbeza. rambutnya yang sememangnya pendek makin pendek dipotong. malah disikat tepi. sama seperti budak lelaki sebaya yang masih mentah bermain lari-lari.

cikgu lelaki yang berwajah manis menegurnya sambil memberi sebuah senyuman indah, "aik, pendeknya rambut awak. macam budak lelaki."
si budak comot itu pun tersengih-sengih. terukirlah senyuman kambingnya yang malu-malu dengan cikgu berwajah manis itu.

cikgu itu memang peramah. patutlah ramai yang senang dengannya. mukanya tidak pernah masam. marahnya juga jarang-jarang. namun, kalau cikgu itu marah, dibalingnya buku dari tingkat atas. siapa yang boleh tahan jika setiap kali ada sahaja anak muridnya yang tidak siapkan kerja sekolah. nasib baik marahnya itu sekejap.

semasa di kelas tiga bakawali, si cikgu bermuka manis selalu bermain permainan bersama anak-anak muridnya. apabila tiba subjek bahasa malaysia, kelas itu pasti gamat dengan tawaan besar melihat telatah lucu cikgu itu. hampir setiap kali perhimpunan, kelas tiga bakawali pasti memegang gelaran 'kelas terbersih.' gara-gara cikgu bermuka manis, budak-budak pun bersemangat untuk membersihkan kelas.

siapa yang tidak kenal kelas tiga bakawali? selalu sahaja menang apa-apa pertandingan yang dianjurkan kelas. semuanya kerana usaha keras cikgu itu dan konco-konco kecilnya yang comot belaka. 

bercakap mengenai budak comot yang berambut pendek, seringkali juga budak itu kehilangan duit. kadang-kadang sampai tidak makan kerana duitnya yang seringgit itu hilang. budak-budak, mana peka. kes budak comot yang selalu hilang duit itu sampai kepada cikgu bermuka manis. tidak sampai beberapa hari, cikgu itu terus menghadiahkannya sebuah dompet kecil.

"nah, gunalah dahulu. letak duit dalam ini. tidaklah selalu hilang duit."

dahulu, sekolah agama rakyat ditumpangkan pada bangunan yang sama dengan sekolah rendah tempat belajar si budak comot. selalunya, budak comot bersama adiknya, si tembam pergi ke sekolah agama terlalu awal kerana ayahnya mahu ke tempat kerja. tinggallah mereka berdua merayau di bilik guru dan kadang-kadang menempel di meja si cikgu bermuka manis.

"cikgu, cikgu orang mana?"

"saya orang melaka."

si budak comot itu bertanya lagi, "melaka di mana? kampung saya di durian tunggal."

"saya pula di merlimau. banyaklah ya durian kat kampung awak." gurau cikgu itu.

"kalau cikgu balik kampung, bagilah saya limau banyak-banyak!"

si cikgu bermuka manis itu pun selalu belanja si budak comot sebatang aiskrim. ada suatu kisah, cikgu itu mahu belanja budak comot dan rakannya. budak comot itu pun gembira dan mengambil aiskrim yang mahal serta sedap. rakannya pula cuma mengambil aiskrim yang murah. cikgu bermuka manis itu mula memprovokasikan rakannya. "betul nak aiskrim ni je? tak nak yang itu dan itu? tengok macam dia, ambil aiskrim yang sedap."

rakannya itu menggeleng dan tetap mahukan aiskrim yang dipilihnya itu.

budak comot itu merasakan bahawa rakannya sungguh bodoh kerana memilih aiskrim yang murah sedangkan cikgu yang mahu belanja. apabila mengujarkan kemusykilannya kepada rakan yang paling pandai di dalam kelas, rakannya itu berkata, "sepatutnya kita ambillah yang murah. sebab takkanlah kita nak suruh orang yang ingin membelanja kita itu benda yang mahal-mahal. tak manis dipandang. lagipun, orang belanja kita terima, tetapi jangan bersikap seperti bagi betis nak paha."

oh rakannya itu tidak bodoh, malah dirinya yang bodoh. sejak daripada itu, si budak comot itu pasti memilih aiskrim yang murah apabila cikgu bermuka manis itu ingin belanjanya.

pernah sekali itu, budak comot datang ke sekolah dengan menangis, si cikgu bermuka manis itu datang dekat dan bertanya, "kenapa dengan awak ni?"

"ayah saya marah saya. sebab saya gaduh dengan adik."

cikgu itu tersenyum, "ayah awak tu cuma cakap je. sudahlah, tak baik menangis."

maka, berhentilah tangisan si budak comot apabila dipujuk. terubatlah sedikit hatinya dengan kata-kata indah yang disebut oleh cikgu bermuka manis itu.

sungguh banyak kenangan budak comot itu bersama si cikgu bermuka manis. tidak terkira banyaknya. dengan cikgu bermuka manis itulah, si budak comot belajar menghormati. belajar menghargai. belajar nilai-nilai murni.



sekarang budak comot itu sudah besar. dan sudah lama meninggalkan alam persekolahan. beberapa hari lepas, budak comot yang telah besar itu berjumpa kembali dengan cikgu bermuka manis. cikgu itu sudah semakin gemuk. mungkin sebab sudah kahwin. namun, ketampanan dan kemanisan mukanya kekal sampai sekarang. 

si budak comot itu tersipu-sipu. malu. hanya menguntumkan sekuntum senyuman buat cikgu itu. rakannya di sebelahnya pula yang menegur si cikgu bermuka manis itu, "selamat hari guru!"

"awak nak belanja saya ke?" cikgu itu memulakan gurauannya. seperti biasa.

rakan si budak comot itu menjawab, "eh boleh je cikgu. saya sudi."

cikgu itu sedikit tertawa dan mula berbual-bual bersama si budak comot dan rakannya sebelum menghilang bersama rakan-rakan cikgu yang lain.
mungkin cikgunya itu mudah melupakan anak muridnya yang tersangat ramai, tetapi sampai tua sekalipun, si budak comot itu tidak akan melupakan cikgu dan kenangan manis tersebut. selamat hari guru.

p/s : biarkan terlambat asalkan terucap :)

yang benar,
amii afandi.

8 ulasan:

L.I berkata...

akak dobi~~ saya nak hadiah hari guru leh x? wakakaka

amii afandi berkata...

=_______=''

hahaaha, saya pasti anda mendapat hadiah hari guru daripada murid-murid comel anda.

nak hadiah jugak? maaf, saya sedang pokai. keh keh keh keh

zubect berkata...

waaa..... bestnye lo dapat cikgu camtu... kat sekolah aku dlu ade brape kerat je yg cmtu, huhuuhu

amii afandi berkata...

aku ada baca post kau tentang cikgu kau. :)

apa ek yang leh aku cakap? yang baik tu tak semuanya baik, yang jahat itu tak semuanya jahat. hehe

Zalikha berkata...

aaahh~comelnya coretan ko ni. mula2 kite tertanya2 juga sape gerangan cikgu bermuka manis tu. tapi bila ko sebut 3 bakawali terus kite tersenyum.

amii afandi berkata...

heheheheeh, siapa lagi kalau disebut 3 bakawali. hahahahahah

Siti Suriani berkata...

best jdi seorang guru..

amii afandi berkata...

rasanya :)