TUKANG BACA

Selasa, 4 Januari 2011

PERGI


Ke hadapan sahabatku yang kini bukan lagi sahabatku,


       Apa khabar? Sudah lama aku tidak mendengar warita darimu. Aku memberi pesanan di nombor barumu tetapi kau tidak mengenaliku pula. Aku tahu. Kau bukan tidak mengenaliku. Kau sengaja berpura-pura berbuat begitu. Pernyataan kau yang ringkas seperti ini, ‘siapa ni?’ amat menyakitkan nuraniku. Engkau bagaikan ingin menjauhkan dirimu. Tidak mengapa. Aku sedar aku siapa. Aku cumalah seorang kerdil yang bagimu amat tidak bermakna. Apabila air bertemu air, sampah juga yang ketepi. Begitulah nasibku.

       Sebelum aku melebarkan rencanaku padamu, aku ingin mengimbas kembali memori kita  sewaktu mula berkenalan. Seperti yang sama engkau ketahui, kita sudah berkenalan agak lama. Sejak berumur setahun jagung dan darah cuma setompok pisang, kita telah ditakdirkan untuk mengenali antara satu sama lain. Mengenalimu amat menyenangkan hatiku. Celotehanmu. Lawak jenakamu. Mampu  menguatkan lagi keindahan yang terbit di dalam batinku. Sesungguhnya, dahulu aku mengaku aku menyukaimu.

Sahabatku yang kini hilang jejaknya,

       Memang. Bukan mudah untuk aku melupakanmu. Engkau adalah cinta pertamaku. Oh, tidak. Mungkin hanya cinta monyet sahaja. Cinta dan setia monyet yang akan hilang apabila ditiup bayu. Aku buntu. Memikirkan perasaanku sendiri. Tidak boleh disangkal, aku masih menyayangimu. Seperti dahulu. Namun, aku tidak mengerti. Adakah aku menyayangimu seperti sayang sahabat kepada sahabatnya? Atau lebih daripada itu.

       Apabila kau menceritakan padaku tentang puspamu, perasaanku tidak menentu. Terasa bagai api cemburu membuak-buak dan menunggu masa untuk dilimpahkan. Namun, kau masih tidak mengerti hatiku. Engkau galak menceritakan sumpah berahimu bersama si dia. Si dia yang tidak pernah aku ketemu. Sukar bagiku untuk mengunci perasaan ini sehingga tiada siapa yang dapat membongkarkannya.

Sahabatku yang sentiasa dalam ingatan,

Aku tahu, kau juga tahu aku menyukaimu. Namun, kau berpura-pura sahaja tidak mengerti hatiku. Pernah sekali kita bergayut semasa ketiadaan ibu bapaku di rumah. Agak lama juga. Menceritakan keindahan-keindahan hidup remaja yang kita alami. Tentang alam persekolahan yang indah-indah belaka. Tentang sekolah barumu. Oh, aku merindui saat itu. Saat dimana aku merasakan dirimu berdekatan. Benar kata orang. Jauh di mata, dekat di hati.

Orang yang melihat tingkah kita memang tidak mengerti. Tidak bersuara namun menjadi akrab. Sebagai seorang sahabat. Beberapa kali kita menebarkan janji untuk bertegur sapa di sekolah. Namun, janji hanya tinggal janji. Janji yang kita ungkapkan senang dilenyapkan bagai menulis di padang pasir. Hanya kerna keegoan masing-masing. Oh, kenangan lalu tidak usah dikenang.

Sahabatku yang aku rindui,

       Aku tertanya. Adakah persahabatan yang terjalin antara kita hanyalah diungkapkan di atas padang pasir yang senang dilenyapkan? Mengapa persahabatan kita tidak diungkapkan di atas seketul batu supaya kekal sampai bila-bila? Mengapa? Aku tidak rasa engkau mengerti hatiku. Aduh, sudahlah. Tidak betah aku melawan takdir. Inilah takdir yang ditetapkan di atas kesudahan perhubungan kita.  

       Hatiku berlagu pilu. Sahabatku pergi jua. Meninggalkan aku. Persahabatan kita telah bertemu noktahnya. Pertemuan, perkenalan dan perpisahan antara kita telah ditentukan. Jika ditakdirkan hubungan kita berakhir di sini, aku redha. Mengenalimu sudah cukup membuat kubahagia. Membuat kuceria. Kehadiranmu bagaikan satu rahmat buatku. Rahmat yang diberikan-Nya untuk mengenali seorang sahabat. Walau bagaimanapun, jika ditakdirkan hubungan kita berterusan, aku bersyukur. Sahabatku telah kembali pulang. Namun, adakah kau akan kembali wahai sahabatku?


Yang benar,
Sahabatmu yang telah dilupakan.                                                                     

Tiada ulasan: